Thursday, September 10, 2020

Bahasa Rojak


PENGENALAN

 

Penggunaan bahasa rojak sudah menjadi amalan di kalangan rakyat Malaysia. Akhir-akhir ini, kebanyakan rakyat Malaysia terlalu leka dengan penggunaan bahasa rojak sehinggakan menjadi kebiasaan bagi mereka untuk berkomunikasi dalam kehidupan seharian mereka tanpa menghiraukan kesan buruk yang akan berlaku terhadap bahasa kebangsaan kita iaitu bahasa Malaysia. Kita sebagai pelajar khususnya rakyat Malaysia seharusnya menjaga atau menyanjungi bahasa ibunda kita sendiri, kerana kalau tidak kita yang memeliharanya, siapa lagi yang seharusnya menjaga bahasa kebangsaan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia suatu ketika dahulu.

Pada tahun 2020, Malaysia dijangka menjadi sebuah Negara yang maju, meninggalkan statusnya sebagai sebuah Negara yang membangun. Espek pembangunan ini banyak bersandarkan kepada perkembangan fizikan dan terlalu sedikit kepada asas-asas jiwa dan penjiwaan kualiti hidup dan jati diri bangsa yang sejak kebelakangan ini mempunyai banyak persaingan daripada pengaruh luar seperti pengaruh barat dan sebagainya.


 OBJEKTIF KAJIAN

 

- Menerangkan definisi bahasa rojak.

 

- Mengkaji punca dan keburukan penggunaan bahasa rojak dalam kalangan rakyat malaysia.

 

- Menyenaraikan peranan pelajar dalam memartabatkan kembali Bahasa Melayu.

 

- Mengenalpasti cadangan dalam memartabatkan Bahasa Melayu.




DEFINISI BAHASA ROJAK

   

    Bahasa Rojak ialah bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan oleh penuturnya misalnya, seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris. Terutamanya oleh golongan yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Bahasa ini digunakan mengikut trend pada sesuatu masa. Situasi ini berlaku dalam konteks lisan sama ada rasmi atau tidak rasmi dan bukannya dalam penulisan, khususnya penulisan ilmiah. Dalam penulisan kreatif seperti dialog komik , ada kecenderungan menggunakan bahasa rojak dalam dialog watak-wataknya. Bahasa rojak tidak menggunakan tatabahasa yang betul. Bentuk bahasa ini juga digunakan dalam bidang tertentu seperti bidang pengiklanan dan penyiaran.

 



PUNCA PENGGUNAAN BAHASA ROJAK


Sikap kurang yakin masyarakat Malaysia terhadap Bahasa Melayu. Kebanyakan masyarakat berpandangan bahawa tiada gunanya mempelajari bahasa Melayu kerana bahasa tersebut akan lenyap ditelan zaman. 

 

Sikap rakyat Malaysia yang mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Kebanyakan penduduk negara kita berpendapat bahawa Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang terulung di dunia.Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia harus sedar bahawa Bahasa Inggeris bukanlah bahasa yang mempunyai paling ramai penutur di dunia ini. Bahasa Inggeris hanyalah merupakan lingua franca, iaitu bahasa pertuturan yang paling utama dan meluas. Hal ini demikian kerana penggunaannya adalah sebagai ‘penyambung lidah’ antara bangsa-bangsa yang berlainan.  

 

Kurangnya semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hal ini demikian kerana masyarakat kurang menjiwai dan sayang akan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Contohnya, sikap penduduk di Perancis. Mereka tidak akan melayan bangsa asing yang bertutur dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya, jika kita sendiri bertutur dalam bahasa Melayu, mereka akan melayan kita dengan sebaik mungkin. Sifat cinta akan bahasa sendiri inilah yang perlu wujud dalam diri setiap masyarakat Malaysia. Seseorang rakyat yang mencintai negaranya pasti tidak akan mengabaikan bahasa kebangsaannya.

 

Faktor emosi serta cara didikan keluarga dan keadaan persekitaran. Seseorang yang sering melafazkan perkataan yang tidak baik, kasar atau mencarut merupakan gambaran situasi jiwanya yang resah, kusut dan memberontak. Penggunaan bahasa rojak, bahasa kasar atau bahasa pasar di dalam SMS, bahasa dalam sembang internet dan blog juga merupakan antara punca kepada permasalahan ini.  

 

Penggunaan bahasa dalam media cetak dan media elektronik. Hal ini disebabkan kebanyakan media tidak menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Penggunaan perkataan yang tidak sesuai yang ditonjolkan dalam drama, filem, lagu-lagu, komik serta majalah sedikit sebanyak menjadi ikutan remaja masa kini. Akibatnya, mereka terbawa-bawa dalam kehidupan seharian.




KEBURUKAN PENGGUNAAN BAHASA ROJAK


ü Menurunkan kedudukan bahasa Melayu dan seterusnya negara memiliki bangsa yang gagal berkomunikasi dengan baik.


ü Menjejaskan keberkesanan komunikasi dalam masyarakat sekaligus menimbulkan salah faham.


ü Mutu penguasaan bahasa Melayu terus merosot dan lemah serta terhakis, hal ini akan memberi kesan kepada bahasa ilmu, bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang, dan budaya.


ü Menjejaskan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah yang mendatangkan kesan negatif dalam jangka masa panjang.


ü Penghayatan terhadap bahasa Melayu semakin berkurang. Bahasa Melayu adalah warisan karya yang menandai ketinggian pemikiran dan estetika bangsa kita.

 

 

PERANAN PELAJAR DALAM MEMARTABATKAN KEMBALI

BAHASA MELAYU


  Salah satu langkah yang harus dilakukan ialah mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi perlu memainkan peranan yang proaktif untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini demikian kerana mahasiswa perlu bergerak bersama-sama bagi mengukuhkan bahasa Malaysia dalam semua bidang ilmu. Menurut Datuk Mahadzir Mohd Khir, Timbalan Menteri Pelajaran, beliau mengatakan bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh mahasiswa ialah dengan menganjurkan Minggu Bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam kegiatan kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap bahasa Malaysia. Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan perubahan semasa selaras dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak pembangunan masyarakat patut diberikan pujian. Minggu Bahasa Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa dapat mendaulatkan bahasa ibunda di samping memupuk kecintaan terhadap bahasa Malaysia dalam kalangan generasi masa ini.

        

  Selain itu,para pelajar mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Golongan pelajar ini juga adalah merupakan golongan cerdik pandai yang sering melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti ilmu seperti seminar, pembentangan kertas kerja, pidato, forum, simposium dan pelbagai aktiviti yang melibatkan perbincangan, soal jawab , penerangan dan taklimat. Mereka seharusnya melibatkan diri dengan aktif agar boleh menggunakan bahasa dengan berhujah, memberi pandangan ,ulasan dan apa sahaja yang membawa kepada pemantapan bahasa.

 

     Di samping itu, peranan pelajar dalam memartabatkan bahasa Malaysia ialah dengan memberi dorongan kepada pelajar antarabangsa untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang kepentingan bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian. Hal ini sekaligus dapat membantu Malaysia dalam meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dan secara tidak langsung,imej negara kita dipandang gah di persada dunia.

 

        Akhir sekali, kita sebagai pelajar perlu rajin mempelajari bahasa Melayu kerana ia merupakan satu-satunya bahasa yang menyatukan rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Pelajar boleh menyemai minat dalam mempelajari bahasa Melayu melalui pelbagai cara yang berkesan seperti mendengar lagu Melayu.  Pelajar juga boleh melibatkan diri dalam komuniti seperti di sekolah dan badan-badan yang relevan. Di sekolah, pelajar boleh menimbulkan kesedaran tentang keistimewaan bahasa Melayu dan bagaimana ia melambangkan jati diri bahasa Melayu di kelas. Para pelajar boleh menjalankan program-program yang berkaitan dengan bahasa Melayu seperti bengkel mempromosikan bahasa Melayu dan kempen kesedaran tentang kepentingan bahasa Melayu. Aktiviti-aktiviti ini tentu dapat membantu para pelajar memartabatkan bahsa Melayu.

 

kesimpulannya.   

 

     Konklusinya,usaha-usaha yang konkrit dan berterusan perlulah diambil oleh mahasiswa untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Individu haruslah memanfaatkan masa mereka untuk mempelajari dan menguasai bahasa Malayu dengan baik. Oleh itu,semua pihak haruslah bersatu tenaga untuk memartabatkan darjat bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai bahasa kebangsaan. Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan bahasa Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia. Natijahnya,marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal dan 'tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas'.

 

 

 RUJUKAN


http://penyiaranislambahasarojak.blogspot.com/2017/02/pengenalan-apa-itu-bahasa-rojak-bahasa.html

 

https://www.slideshare.net/rashidahmurat92/asgmt-bahasa-melayu-tinggi-peranan-mahasiswa-dlm-memartabatkan-bm

 

http://penyiaranislambahasarojak.blogspot.com/2017/02/pengenalan-apa-itu-bahasa-rojak-bahasa.html

 

http://kerjakomunikasibahasarojak.blogspot.com/2017/

 

http://perananpelajarmemartabatkanbahasa.blogspot.com/2017/09/peranan-pelajar-dalam-memartabatkan.html

 

 

http://kdpi5.blogspot.com/2017/12/penggunaan-bahasa-rojak-sudah-menjadi.html

 

http://rojak16.blogspot.com/2010/08/punca-penggunaan-bahasa-rojak.html

 

http://bahasarojakkita.blogspot.com/2017/01/bahasa-rojak-dalam-kalangan-masyarakat.html

 

http://wanamirzatuljannah.blogspot.com/2017/01/

 

 AHLI KUMPULAN

NUR AINA NADHIRAH BINTI MOHD RAZI  (30DLS19F1015)

NUR SYAFIQAH BINTI MOHD ANUAR (30DLS19F1041)

NOR IZZATI BINTI JAMALUDIN (30DLS19F1035)

ANISA BINTI ZAINAL (30DLS19F1017)

 


No comments:

Post a Comment

Bahasa Rojak

PENGENALAN   Penggunaan bahasa rojak sudah menjadi amalan di kalangan rakyat Malaysia. Akhir-akhir ini, kebanyakan rakyat Malaysia terlalu l...